Kota Lukut taman warisan,
Tempat bersemadi pahlawan terbilang,
Program usahawan muda pemangkin wawasan,
Majulah bangsa usahawan terbilang.

Sunday, December 5, 2010

CIRI-CIRI KEUSAHAWANAN


Pagi ini penulis terpanggil untuk berkongsi dengan semua tentang ciri-ciri keusahawanan yang dibaca melalui satu laman web. Tertarik dengan isi penulisannya yang dirasakan sangat berguna, penuh informasi dan boleh dijadikan panduan. Antara isi penulisannya yang menarik adalah;

"Ciri utama keusahawanan ialah memastikan mereka mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang bidang perniagaan yang diceburi. Ini bermakna usahawan perlu berusaha mendapatkan semua maklumat yang perlu mengenai perniagaan yang menjadi pilihan mereka. Pemilihan bidang perniagaan tidak boleh dilakukan secara ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama.

Kita perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih seperti berikut:

* Maklumat mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan.
* Maklumat pasaran yang disasarkan.
* Maklumat mengenai persaingan.
* Maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran.
* Struktur kos, penetapan harga dan kadar keuntungan.
* Kelakuan-kelakuan tertentu dalam industri yang diceburi.

Kejayaan sesuatu usaha bergantung kepada komitmen usahawan tersebut. Komitmen membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan. Komitmen usahawan terhadap idea dan pelaburan mereka menentukan kejayaan pelaburan yang mereka usahakan."

Untuk bacaan lanjut pembaca boleh melayari laman web yang disertakan.
http://msani.wordpress.com/2007/07/08/ciri-ciri-keusahawanan/

KURSUS PEMBUBARAN SYARIKAT & PENYEDIAAN LAPORAN SYARIKAT PUM NEGERI SEMBILAN 2010






Tarikh : 26-28 Oktober 2010
Tempat : PNB Ilham Beach Resort, Port Dickson
Konsultan : Nova Orient Sdn Bhd
Guru Pembimbing yang hadir : En Mohd Yusof b Shafie


PENGISIAN KURSUS;
1. Perkongsian ilmu bersama Pengetua Cemerlang SMK YAM Tuan Radin, Pn Hjh Hamidah bt Burok yang telah memenangi Anugerah Pengetua Terbaik PUM Peringkat Kebangsaan 2010
2. Kaedah dan cara menyediakan laporan kewangan syarikat
3. Panduan dan cara mengurus syarikat PUM mengikut minggu
4. Perbincangan untuk penambahbaikan PUM Negeri Sembilan di peringkat kebangsaan


DAPATAN KURSUS;
1. Guru-guru Pembimbing mendapat pendedahan tentang tatacara mengurus syarikat terutama aspek kewangan melalui Penyediaan Laporan Tahunan
2. Mulai tahun 2011, Jawatankuasa Teknikal PUM Negeri Sembilan akan diwujudkan semula dalam usaha membantu PKNNS dan JPNS meletakkan PUM di peringkat yang lebih tinggi
3. Pengetua-pengetua sekolah akan diberi penerangan yang jelas tentang pelaksanaan PUM di sekolah

Sunday, October 24, 2010

HARI ANUGERAH KOKUKURIKULUM 2010 SMKYTR - 6 KATEGORI MILIK PUM







SMK YAM Tuan Radin telah mengadakan program tahunan sekolah iaitu Hari Anugerah Kokurikulum 2010. Program yang dijalankan pada 19 Oktober 2010 dan dirasmikan oleh YB Dato' Siow Chen Pin, Exco Kerajaan Negeri Sembilan. Pada tahun ini, Kelab PUM berjaya merangkul enam (6) kategori bagi kategori pelajar dan guru. Anugerah yang diterima adalah Kelab/Persatuan Cemerlang 2010, Guru Cemerlang Kelab/Persatuan (En Mohd Yusof b Shafie), Pelajar Cemerlang Kelab/Persatuan (Mohd Rifaie b Zainal Abidin)dan Pelajar Cemerlang Kokurikulum Keseluruhan (Mohd Rifaie b Zainal Abidin).

Lebih membanggakan apabila pada tahun ini, Kelab PUM telah berjaya mengungguli salah satu kategori iaitu Anugerah Khas Kecemerlangan Kokurkulum yang dimenangi oleh En Mohd Yusof b Shafie-Guru Pembimbing Terbaik dan Perkhidmatan Terbaik. Dalam pada itu, kelab PUM turut berjaya memenangi Anugerah Kategori Khas Guru Kokurikulum Terbilang 2010 di mana telah dimenangi oleh Pn Hjh Hamidah bt Burok, Pengetua Cemerlang SMKYTR (Anugerah Pengetua Terbaik PUM Peringkat Kebangsaan) dan En Mohd Yusof b Shafie (Guru Oembimbing Terbaik PUM Negeri Sembilan - 2006, 2007, 2009 dan 2010). Semoga dengan kejayaan-kejayaan ini dapat terus menyuntik lebih semangat kepada semua ahli kelab untuk meraih lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Friday, October 1, 2010

HARI PENILAIAN PROJEK GARDEN KITCHEN SMKYTR




Penilaian Pertandingan Projek Kitchen Garden/Edible Landscape telah dijalankan pada 30 September 2010 di SMKYTR. Para penilai terdiri daripada empat (4) juri dari Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan. Penilaian ini diketuai oleh En Mohamad Din b Abd Hamid, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Koporat FAMA Negeri Sembilan.

PROJEK BARU PUM: PROJEK KITCHEN GARDEN





Projek Kitchen Garden /Edible Landscape yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Negeri Sembilan merupakan antara program yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Persekutuan(FAMA) Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS). Idea pelaksanaan projek ini adalah kesinambungan kepada pelaksanaan Program Bumi Hijau yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
SMK YAM Tuan Radin telah terpilih bersama sembilan (9) lagi sekolah menengah di Negeri Sembilan (kategori sekolah menengah)untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Dengan mengambil kira manfaat yang bakal diperoleh melalui projek ini, maka Projek Kitchen/Edible Landscape telah dilaksanakan di sekolah ini. Pelaksanaan projek ini merupakan kolaborasi antara Kelab Program Usanawahan Muda (PUM, Persatuan Sains dan Matematik dan Kelab Kemahiran Hidup dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKYTR serta Jabatan Pertanian Daerah Port Dickson.

Tuesday, September 28, 2010

SMKYTR MUNCUL JOHAN PENGETUA TERBAIK 2010






PUM SMKYTR sekali lagi menyertai Konvensyen Nasional PUM 2010 untuk kali ketujuh pada tahun ini. Konvensyen yang berlangsung selama empat hari dari 14 hingga 17 Julai 2010 telah diadakan di Persada Johor, Johor Bahru. Jika tahun lalu SMKYTR (sebelum ini dikenali SMK Lukut) berjaya merangkul Johan Catur Bestari Kategori Masa Terpantas ke Laluan Tijarah, pada tahun ini kejayaan lebih membanggakan apabila Pengetua Cemerlang, Pn Hajah Hamidah bt Burok muncul Johan bagi kategori Pengetua Terbaik di peringkat nasional. Beliau yang mendapat Johan Anugerah Pengetua Terbaik PUM peringkat negeri kali ketiga berturut-turut menyifatkan penganugerahan ini adalah sebagai tanda penghormatan atas sokongan, kerjasama dan komitmen beliau yang cukup tinggi dalam pembangunan PUM di sekolah ini. Selain kategori Anugerah Pengetua Terbaik yang dimenangi, PUM SMKYTR turut berjaya memenangi tempat pertama dalam kategori Kumpulan Sorak Terbaik bagi kategori Anugerah Khas.
Dalam konvensyen ini, PUM SMKYTR turut menyertai beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Anugerah Guru Pembimbing Terbaik (En Mohd Yusof b Shafie) dan Anugerah Perkhidmatan Terbaik (Kebun Pisang).

Friday, June 11, 2010

PROJEK KHAS PUM 3






KIOSK CAWANGAN ASRAMA (KEDAI ASRAMA)

Menyediakan kemudahan menjual semua jenis keperluan am pelajar asrama seperti baldi, sabun, syampu, berus dan ubat gigi, penyangkut baju dan lain-lain termasuk makanan dan minuman ringan.

Objektif penubuhan PUM di asrama SMKYTR ialah;

1. Memberi peluang kepada pelajar menjalankan aktiviti perniagaan di sekolah.

2. Pelajar dapat menunjukkan bakat, kebolehan dan mengembangkan potensi diri dalam bidang keusahawanan.

3. Pelajar menyatakan minat serta kelebihan yang ada dalam bidang ini selain daripada bergiat aktif dalam salah satu bidang kokurikulum di sekolah ini.

4. Memberi kemudahan kepada para penghuni asrama untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka termasuklah makanan dan minuman tanpa perlu keluar dari kawasan sekolah (asrama)

Kumpulan Sasaran;

Kumpulan sasaran perlaksanaan program ini ialah semua penghuni asrama lelaki dan perempuan, seluruh warga sekolah dan para ibu bapa yang berurusan dengan anak-anak mereka.

Tempat Aktiviti Dijalankan;

Aktiviti jualan PUM di asrama dijalankan di kedai usahawan (kiosk) yang dibina hasil pengubahsuaian stor Bengkel Sains Pertanian menjadi kedai usahawan. Kedudukannya yang strategik iaitu bersempadan di antara asrama putera dan puteri dan bersebelahan dengan bilik belajar serta ruang ibu bapa menunggu.


Waktu urus niaga;

1. Pada hari biasa, perniagaan akan dijalankan pada waktu petang iaitu waktu riadah pada 4.30 ptg - 5.30 ptg untuk pelajar lelaki dan 5.30 ptg - 6.30 ptg untuk pelajar perempuan. Ini bagi bagi mengelakkan percampuran antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan semasa membeli.

2. Pada hari minggu atau cuti am pada jam 9.00 pg - 11.00 pg bagi pelajar lelaki manakala pada jam 11.00 pg - 1.00 tengahari bagi pelajar perempuan.

3. Setiap aktiviti jualan akan dijalankan oleh AJK yang dilantik.

4. Barang-barang jualan akan dibeli oleh guru pembimbing PUM manakala stok/rekod akan dilakukan oleh AJK PUM dengan bimbingan guru.


Kos pembinaan : RM2800.00. Wang yang diperuntukan oleh pihak sekolah.